KALAU sebut pasal komando banyak pihak membayangkan anggota tentera berwajah bengis dengan seragam serta lengkap bersenjata.
Hakikatnya, seorang komando juga boleh menulis buku lebih-lebih lagi apabila menceritakan kisah penugasan dan pengalaman mereka dalam perkhidmatan.
Hasilnya sebuah buku bertajuk ‘Paskal Di Kaki Langit’ berjaya diterbitkan oleh bekas anggota komando Pasukan Khas Laut (Paskal) Masri Muhammad.
Buku setebal 254 muka surat ini menceritakan kisah anggota generasi pertama yang menjadi pelopor di sebalik penubuhan unit komando TLDM dan pengalaman pahit getir anggota sewaktu menjadi perintis ‘menerokai’ Terumbu Layang-Layang.
Kisah berkisar pada awal 1980-an ini turut menceritakan pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut sama-sama terlibat dalam Operasi Tugu antaranya Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Gerup Gerak Khas (GGK).
Jika diteliti daripada keseluruhan 37 bab dalam buku ini, pembaca bukan sahaja dapat memahami kisah di wilayah pertikaian dan anggota yang terlibat, tetapi akan memahami serba sedikit berkenaan budaya dalam TLDM.
Antaranya, pipping iaitu budaya yang digunakan dalam angkatan tentera laut di seluruh dunia. Tiupan menggunakan alat yang dinamakan Bosun Pipe atau Boatswain Call ini mempunyai tujuh jenis tiupan yang akan bertindak sebagai ‘arahan’ kepada anggota.
Selain itu, pembaca juga akan mengetahui istilah-istilah dalam TLDM seperti galley iaitu tempat makan, port dan starboard (istilah untuk sebelah kiri dan kanan) serta stand to armed iaitu langkah berjaga-jaga yang menuntut anggota berada pada tahap pengawasan tertinggi.
Kisah dalam buku ini juga turut menampilkan konflik melibatkan pegawai Paskal iaitu Leftenan Johari Ahmad yang mahu menanggalkan beret Paskal selepas ada anggotanya hilang semasa di Terumbu Layang-Layang.Di samping itu, salah satu watak utama dalam buku ini yang juga pengasas Paskal Laksamana Madya (B) Datuk Nasaruddin Othman diceritakan ketika terpaksa meninggalkan isteri yang sarat mengandung anak pertama kerana seruan tugas yang menyuntik emosi sedih pembaca.
Turut diceritakan bagaimana anggota Paskal yang perlu bertugas di Terumbu Layang -Layang sebaik sahaja tamat Ops Gonzales secara tidak langsung memberi gambaran sebenar kehidupan dan pengorbanan anggota tentera pada satu ketika dulu.
Masri ketika ditemui Mingguan Malaysia berkata, dia menulis disebabkan minat dalam bidang penulisan dan gemarkan bahan bacaaan berkisar tentang ketenteraan serta pertahanan.
Selain itu, katanya, pengorbanan anggota Paskal generasi pertama yang berdepan dengan pelbagai pahit getir sewaktu pendudukan di Terumbu Layang-Layang menjadikan dia semangat untuk menghasilkan karya berkenaan.
Buku yang dihasilkan Masri menarik dibaca lebih-lebih lagi hasil tangan anggota komando berpengalaman termasuk pernah mengikuti kursus asas komando Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) Seals. Tiada susur galur atau sejarah awal pembentukan Paskal pada bab pertama menjadikan pembacaan buku ini lebih bersifat santai.
Apa yang menarik, kisah dipaparkan ini juga adalah cerita benar termasuk watak penting yang mencipta lambang trimedia Paskal iaitu Laskar Muda (PKL) Syed Ali Syed Syarif dan Bintara Muda (PKL) Mustafa Alwi.
Masri berkata, kisah sebenar generasi perintis Paskal bukan sahaja banyak tidak diketahui masyarakat, sebaliknya dalam kalangan anggota Paskal sendiri.

Selain paparan kisah menarik, buku ini turut dimuatkan dengan pelbagai gambar-gambar lama sewaktu pembabitan anggota Paskal di Terumbu Layang-Layang dan juga beberapa siri operasi yang pernah disertai pasukan ini.
Ketika ditanya tentang cabaran dalam penghasilan buka ini, Masri berkata, gambar-gambar lama sukar dicari selain memerlukan tapisan ketat sebelum dapat diterbitkan.
Sementara itu, menurut Masri, penerbitan buku tersebut dapat memberikan penghayatan rakyat Malaysia terhadap pengorbanan anggota tentera dan bukan hanya berkisar ketika peperangan menentang Komunis semata-mata. – Mingguan Malaysia

The post ‘Paskal Di Kaki Langit’ papar kisah di Terumbu Layang-Layang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *