ARAU: Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis, Datuk Azahar Ahmad yakin menang di kawasan berkenaan dengan lebih 80 peratus pengundi yang ditemui semasa tempoh kempen menyatakan sokongan terhadap beliau.

Selain itu katanya, lebih separuh atau 60 peratus pengundi UMNO atau Barisan Nasional (BN) juga akan mengundi beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas dua kali dinafikan sebagai calon BN.

Katanya, beliau akan buktikan bahawa dirinya adalah calon boleh menang yang mendapat sokongan akar umbi meskipun bertanding atas tiket Bebas.

“Alhamdulilah sepanjang tempoh kempen setiap kawasan yang saya masuk menyaksikan lebih 80 peratus pengundi menyatakan sokongan kepada saya. Keyakinan ‘confirm’ menang.

“Kuala Perlis tewas buat pertama kalinya dalam sejarah pada PRU14 adalah atas kesilapan selepas saya tidak dicalonkan. Begitu juga dalam PRU15 meskipun 24 cawangan UMNO, 24 cawangan wanita dan 18 cawangan pemuda mengusulkan saya sebagai calon BN,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Azhar yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Kangar mengambil keputusan untuk bertanding calon Bebas menggunakan logo kunci pada PRU15.

Kerusi DUN Kuala Perlis dijangka sengit apabila berlaku pertembungan lima penjuru membabitkan penyandang, Nor Azam Karap (PH), bersama Kamaruddin Malik (BN), Abu Bakar Hamzah (PN), Muhamad Hairi Noordin (Warisan) dan Azahar.

Semalam calon BN, Kamaruddin dilaporkan berkata, beliau dan jenteranya terus bergerak lebih agresif menjelang hari pengundian pada Sabtu ini bagi mencari sokongan pengundi menjelang PRU15.

Kata Kamaruddin, sokongan itu adalah bagi membolehkan BN mendapat sokongan majoriti memandangkan kerusi itu akan turut ditandingi Azahar yang mempunyai pengaruh kuat di kawasan itu dan merupakan bekas pemimpin UMNO Bahagian.

Sementara itu, ditanya apa yang akan dibawa di Kuala Perlis jika menang, Azahar berkata, beliau bergantung kepada siapa Menteri Besar selepas ini.

“Sekiranya Menteri Besar masih individu yang sama tidak ada apa yang boleh kita buat,” katanya.-UTUSAN

 

The post Pasti menang, 80 peratus pengundi sokong saya – Calon Bebas Kuala Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *