PUTRAJAYA: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi belum dimansuhkan dan masih berfungsi seperti biasa biarpun Parlimen sudah dibubarkan.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan mesyuarat minggu hadapan iaitu kali pertama selepas Parlimen dibubarkan minggu lalu.

Beliau berkata, pasukan itu tidak sempat lagi mengadakan mesyuarat sejak Parlimen dibubarkan bertujuan memberi peluang kepada ahli Parlimen untuk pulang ke kawasan masing-masing.

“Kita belum adakan mesyuarat untuk minggu ini tapi mungkin kita perlu adakan mesyuarat pada minggu hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di sini, hari ini.

Katanya, pasukan itu tidak dibubarkan lagi memandangkan inflasi dan masalah berkaitan bekalan makanan masih wujud dan ia menjadi tugas kerajaan untuk memantau perkara itu.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, buat masa ini, pasukan itu masih perlu bersidang bagi menentukan kadar harga minyak masak yang biasanya diumumkan setiap 8 hari bulan.

Menurutnya, pasukan itu juga perlu memastikan keberadaan bekalan makanan utama seperti ayam, telur dan sebagainya di pasaran tempatan. –UTUSAN

 

The post Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi masih berfungsi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *