PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam sebuah bas di Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi semalam.

Dalam serbuan pukul 5 pagi itu, sembilan lelaki dan lima wanita warganegara Indonesia berusia 15 hingga 49 tahun itu dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di sekitar Chuping, Perlis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat bahawa PATI berkenaan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah bas.

Beliau berkata, pasukan operasi mengesan bas berkenaan di lebuh raya dan bertindak mengekori sehingga ke hentian bas Jalan Duta, Kuala Lumpur. 

“Sebaik tiba di hentian bas Jalan Duta, pasukan operasi melakukan pemeriksaan ke atas penumpang bas tersebut dan menemui kesemua PATI itu.

“Semakan lanjut ke atas pasport kesemua mereka mendapati ada cap keluar Imigresen Thailand dan cap masuk Imigresen Malaysia (Padang Besar) yang disyaki palsu.

“Cap masuk imigresen palsu itu digunakan bertujuan mengaburi pihak berkuasa kononnya mereka masuk secara sah dan melalui pemeriksaan Imigresen,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, lapan orang daripada mereka dikesan memiliki rekod senarai hitam daripada memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau.

Khairul Dzaimee berkata, modus operandi sindiket adalah dengan membawa PATI menaiki pesawat dari Indonesia ke Thailand sebelum masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan  Malaysia -Thailand dengan berjalan kaki.

Menurutnya, mereka kemudian akan menaiki kenderaan ke lokasi yang ditetapkan untuk menaiki bas menuju Kuala Lumpur.

“Kesemua mereka mengaku membayar kepada ejen di negara mereka sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 untuk urusan kemasukan ke negara ini. 

“Kesemua mereka juga mengaku tidak membuat pemeriksaan imigresen semasa masuk dan hanya ejen yang menguruskan pasport mereka semasa berada di rumah penampungan. 

“Tujuan mereka masuk adalah bekerja semula di tempat lama mereka bekerja di sekitar Kuala Lumpur dan bekerja dengan majikan baharu yang diatur awal,” katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah akta sama.  – UTUSAN

The post Pati cuba seludup masuk KL guna bas ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *