PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan parti-parti politik supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi  aktiviti ceramah dan perhimpunan biarpun kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) belum bermula.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti-parti politik ketika ini giat menganjurkan ceramah dan perhimpunan sebagai persediaan menjelang PRU15.

Beliau berkata, ceramah dan perhimpunan politik boleh dianjurkan bila-bila masa biarpun bukan pada waktu pilihan raya, namun ia mestilah mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“Negara ini ada undang-undang dan kami akan pastikan ia (ceramah politik dan perhimpunan) tidak melanggar undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara 2022, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, pembahagian kerusi bagi rakan-rakan sekutu dalam PN bagi PRU15 belum lagi dimuktamadkan.

“Kita akan lihat secara terperinci pembahagian kerusi itu termasuk meneliti beberapa konsep kerjasama lain,” katanya.

Ditanya perkembangan terbaharu cadangan kerjasama antara PN dengan Gerakan Tanah Air (GTA), beliau mengakui kerjasama itu bukan mudah untuk dimuktamadkan kerana PN sendiri terdiri daripada beberapa parti politik.

“Bukan mudah untuk kita kata ya dan bersetuju dengan cadangan itu,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN perlu mendapatkan pandangan pimpinan parti komponen sebelum memuktamadkan sebarang kerjasama politik baharu. – UTUSAN

The post Patuhi SOP ceramah, perhimpunan – Hamzah Zainudin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *