KUALA LUMPUR : Mana-mana ahli UMNO yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan pada pilihan raya akan gugur keahlian secara automatik.

Perkara itu diputuskan dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO yang meluluskan dua pindaan Perlembagaan parti termasuk melibatkan Fasal 20.11 itu untuk disesuaikan dengan peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti sebagaimana Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dikuatkuasakan mulai 5 Oktober tahun lalu.

Perkembangan tersebut menyaksikan mana-mana ahli UMNO termasuk sama ada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyertai parti atau pakatan lain perlu mengosongkan kerusi secara automatik sekali gus pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Dalam pada itu, pindaan lain yang diluluskan ialah meletakkan Ketua Penerangan bahagian secara automatik menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun itu melibatkan pindaan pada Fasal 8.4.

Lazimnya Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua bahagian merupakan antara perwakilan yang menghadiri perhimpunan.

Kedu-dua usul dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika membentangkan pindaan itu berkata, perkara itu memastikan peruntukan oleh parti bersifat terkini dan selari dan peruntukan semasa dan undang-undang negara.

Perhimpunan agung kali ini melibatkan 2,648 perwakilan dan 174 pemerhati, iaitu ketua penerangan bahagian, menjadikan jumlahnya 2,822 orang.

Kelulusan kedua-dua pindaan itu disahkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin yang menyatakan pindaan tersebut lulus dengan lebih suara bersetuju.-utusan

The post PAU 2022 : PRK jika wakil rakyat UMNO sertai parti lain appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *