PETALING JAYA: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bimbang dihukum lagi gara-gara dua pemenang pingat Sukan Malaysia (Sukma) 2022, September lalu disahkan positif dadah jenis ‘anabolic androgenic steroid’.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat bekata, kes ini berkemungkinan menyebabkan badan induk itu digantung sekali lagi oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selepas me­lalui episod malang yang sama pada 2018 lalu, ekoran penggunaan bahan terlarang.

Katanya, mereka sudah berusaha memberi pendidikan dan kesedaran mengenai perkara itu, namun ia tetap tidak dapat dikawal sepenuhnya.

“Dalam Sukma 2022 lalu, PABM menarik diri daripada menganjurkan sukan ini kerana tidak bersetuju dengan penyertaan dua negeri yang didapati terlibat dengan doping, namun keputusan kami dianggap ‘membunuh’ potensi atlet dari negeri-negeri tersebut.

“Kami membuat keputusan itu berdasarkan perlembagaan persatuan, malah sebenarnya berharap agar pihak sekreta­riat dan Majlis Sukan Negara (MSN) menyokong PABM pada waktu itu kerana tidak mahu isu ini memberi kesan kepada persatuan pada masa akan datang.

“Sekarang, semua­nya sudah terjawab, memang ada penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet negeri tersebut sedangkan kami sudah beri pendidikan dan kesedaran tetapi kes masih berlaku dan ini di luar kawalan persatuan.

“Kami memang tidak membenarkan atlet dari kedua-dua negeri terbabit bertanding di Sukma tetapi keputusan kami tidak dihormati oleh sekretariat Sukma di bawah MSN. Jadi, kes yang berlaku ini perlu dirujuk kepada sekretariat di bawah MSN selaku penganjur.

“PABM hanya mahukan sukan ini bersinar tanpa dicemari isu ­doping. Dalam keadaan ini, adakah persatuan juga patut dipersalahkan?

“Kita buat keputusan (di Sukma 2022) kerana persatuan ada perlembagaan yang perlu dipatuhi. Kami memi­kirkan keadaan di peringkat antarabangsa kerana PABM menyasarkan untuk menghantar atlet ke Olimpik Paris 2024,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) mengesahkan dua pemenang pingat angkat berat  Sukma 2022 yang didapati positif bahan terlarang jenis ‘anabolic androgenic steroid’ berasal dari Terengganu.

Menurut Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia Adamas, Azura Bidin, pihaknya sudah menghantar surat kepada kedua-dua atlet terbabit selain Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua atlet terbabit mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan pada 23 Disember untuk memberikan maklum balas sama ada mahu membuka sampel B atau sebaliknya,” katanya.

Jika bercadang mencabar keputusan tersebut kos ditanggung sendiri AS$350 (RM1,547), namun jika mereka menerima keputusan itu, ­Adamas akan menetapkan tarikh bagi kedua-duanya memberikan penjelasan.

The post PBAM bimbang digantung lagi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *