PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan penggantungan Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berkuat kuasa serta-merta. 

Presidennya, Datuk Larry Sng berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan perlembagaan parti Fasal 60 (iii). 

Menurut beliau, penggantungan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBM pada 7 Oktober  memutuskan Datuk Zuraida Kamarudin sebagai Presiden, sedangkan jawatan itu tidak pernah kosong.

“Mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini saya masih menjadi Presiden PBM yang diiktiraf secara sah.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang diadakan pada 7 Oktober dijalankan tidak seperti yang diarahkan oleh saya sebagai Presiden parti dan saya hanya dimaklumkan keputusannya selepas ia diadakan. 

“Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga Jawatankuasa Tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” katanya di Facebook, hari ini. 

Kata Larry, beliau mengecam muslihat politik sedemikian yang menjejaskan kepercayaan kepimpinannya dan menyebabkan kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum. 

Untuk rekod, Hizwan dan Zakaria dipercayai bekas ahli PKR dan didakwa ‘orang kuat’ penyandang Parlimen Ampang itu. 

Bagaimanapun, Larry sebelum ini dilapor berkata, proses peralihan kuasa susulan keputusan parti itu melantik Zuraida sebagai ‘presiden pengganti’ perlu dilaksana mengikut prosedur yang sewajarnya.- UTUSAN

The post PBM gantung Setiausaha Agung, Ketua Penerangan  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *