PETALING JAYA: Kehidupan peneroka Felda akan terus dinaik taraf jika mereka mengundi Parti Bangsa Malaysia (PBM) di kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 19 November ini.

Calonnya, Haniza Mohamed Talha menjelaskan, pihaknya telah meneliti tiga isu utama yang dihadapi peneroka Felda antaranya pembukaan akaun untuk peneroka yang mengusahakan ladang sawit mereka sendiri.

Katanya, dua lagi isu ialah permohonan meningkatkan had berat jualan sawit bulanan kepada kilang dari 15 tan bagi setiap akaun peneroka dan membenarkan koperasi ditubuhkan oleh peneroka untuk membeli buah sawit daripada peneroka.

“Datuk Zuraida Kamaruddin (Presiden PBM) telah pun mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi Felda bagi mencari penyelesaian. Alhamdulillah, saya mendapat maklumat bahawa had berat jualan sawit bulanan yang dibenarkan telah dinaikkan kepada 20 tan, dan kini ia dalam proses untuk dilaksanakan. Dua lagi isu tersebut masih dalam proses kelulusan.

“Saya sangat positif kedua-dua lagi isu ini akan dapat diselesaikan tak lama lagi. Berita ini telah disambut baik oleh peneroka Felda semasa perjumpaan saya dengan mereka tempoh hari.

“Di Hulu Selangor, terdapat ramai peneroka Felda yang dijangka akan mendapat manfaat dari keputusan ini. Langkah ini juga dijangka akan dapat menaikkan taraf hidup peneroka Felda,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mengajak peneroka-peneroka Felda agar mengundi beliau pada PRU kali ini.

“Saya berjanji akan terus memperjuangkan nasib peneroka Felda di kawasan ini, jika saya menang kelak.

“Insya-Allah, saya akan berusaha bersama-sama mengangkat suara peneroka-peneroka dan mencari penyelesaian dalam isu-isu lain yang timbul,” katanya. – UTUSAN

The post PBM naik taraf hidup peneroka Felda Hulu Selangor – Haniza appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *