PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) berazam memperkasa penyertaan kaum wanita dalam arena politik negara.

Calon PBM Hulu Selangor bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Haniza Mohamed Talha berkata, PBM komited dalam usaha tersebut melalui langkah meletakkan empat calon wanita di enam kerusi ditandingi parti itu seluruh negara.

“Selain saya yang bertanding di Hulu Selangor, calon wanita lain adalah President Designate PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin yang mempertahan kerusi Ampang, Dr. Daroyah Alwi (Kapar) dan Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din (Labuan).

“Daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi PBM pula, satu daripadanya adalah calon wanita iaitu Nazmahwati Walli yang bertanding di Bugaya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Haniza berkata, penggubal undang-undang wanita mempunyai beberapa kelebihan berbanding golongan lelaki. 

“Kajian menunjukkan bahawa golongan lelaki cenderung menjadi lebih agresif dan eksklusif. Kepemimpinan golongan hawa bersifat lebih inklusif, konsultatif dan mempunyai lebih empati. Kita perlu menyedari bahawa dalam dunia hari ini yang berpecah-belah, kepemimpinan politik yang disemai dengan naluri keibuan boleh membuat perubahan ketara dalam kehidupan rakyat,” katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, komposisi calon wanita yang begitu besar seperti dilakukan PBM, tidak pernah berlaku di dalam sejarah Malaysia. 

“Kita harus ingat bahawa daripada 1,386 calon yang mengambil bahagian dalam pilihan raya pada 19 November nanti, 87 peratus adalah lelaki.

“Saya ingin mengingatkan pengundi bahawa komposisi Ahli Parlimen wanita di Dewan Rakyat sebelum ini hanya sekitar 15 peratus daripada jumlah 222 ahli.

“Ini masih jauh daripada sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Parlimen wanita yang ditetapkan ramai pihak sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

The post PBM perkasa penyertaan wanita dalam politik appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *