KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup sekali lagi menyatakan pendirian untuk kekal menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Beliau berkata, pendirian PBRS masih kekal dan tidak berubah sejak Ketua Menteri diberikan mandat untuk menerajui pentadbiran negeri Sabah pada tahun 2020.

“Justeru, kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan agenda pembangunan Sabah dalam kerajaan perpaduan Malaysia.

“Pendirian ini juga merupakan manifestasi terhadap kecemerlangan kepimpinan Ketua Menteri khususnya dalam memastikan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah terus terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arthur, keutamaan mereka ketika ini adalah mahu memastikan agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Sabah terus meningkat.

Selain itu, PBRS juga akan berusaha untuk memastikan isu-isu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan rakyat Sabah.

Keputusan itu selaras dengan ketetapan Barisan Nasional (BN) pada Ahad yang menyatakan BN akan terus menyokong dan mendukung kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklukan keputusan itu sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat persekutuan yang telahpun membentuk kerajaan perpaduan Malaysia.

Kenyataan tersebut dibuat susulan kegagalan rampasan kuasa oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan daripada Hajiji pada 6 Januari lalu.-UTUSAN

The post PBRS kekal sokong Hajiji sebagai Ketua Menteri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *