JEMPOL: Keseluruhan jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Jempol kini didakwa ‘lumpuh’ selepas 40 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan itu dikatakan ditutup sejak malam tadi.

Ia selepas mereka difahamkan penyandang kerusi Parlimen itu yang juga Pengerusi BN Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha UMNO Bahagian Jempol, Muhamad Zamri Omar mendawa, keputusan pucuk pimpinan BN yang memilih individu lain jelas membelakangkan senarai nama calon yang dicadangkan UMNO Bahagian, malah calon yang akan dipilih juga tiada dalam senarai itu.

“Kami ada masa mendesak, kami berusaha ke arah itu lebih-lebih lagi Datuk Seri Mohd. Salim sememangnya sudah terbukti memberikan khidmat terbaik sepanjang satu penggal di bahagian ini.

“Kami bimbang, Parlimen Jempol ini yang sebelumnya merupakan kawasan putih bertukar menjadi kawasan kelabu, semua nak tutup bilik gerakan. Ini bukan ancaman, bukan bantahan, tapi kami mahu Ketua UMNO Bahagian Jempol kekal menjadi calon Parlimen ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Bahagian Jempol, di sini, hari ini.

Pada sidang media berkenaan, hampir 100 individu terdiri daripada Ketua PDM dan UMNO cawangan-cawangan hadir menyatakan sokongan supaya Mohd. Salim dapat dikekalkan di kerusi itu.

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Palong 16, Abdullah Ismail juga berharap agar pucuk pimpinan dapat mengekalkan Mohd. Salim sebagai calon Parlimen Jempol memandangkan beliau baru sahaja berkhidmat sepenggal di Parlimen itu.

“Orang (Mohd. Salim) yang bersungguh-sungguh menghimpunkan ahli UMNO selepas pilihan raya umum lalu dan bagaimana orang yang sudah bersusah payah hendak diketepikan sebagai calon?” soalnya.

Untuk rekod, Pada PRU14, Mohd. Salim memenangi kerusi Jempol dengan majoriti 1,631 undi selepas memperoleh 26,819 undi, menewaskan dua pencabar lain iaitu calon PKR, Kamarulzaman Kamdias yang mendapat 25,188 undi dan calon Pas, Mustaffa Daharun dengan 5,267 undi.

Parlimen Jempol mempunyai seramai 95,776 orang pengundi yang mana 64 peratus daripadanya merupakan pengundi berbangsa Melayu, diikuti 22 peratus pengundi Cina dan 13 peratus pengundi India. – UTUSAN

The post PDM BN Jempol tutup operasi, kecewa Mohd. Salim tidak jadi calon appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *