SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang memberi perkhidmatan secara amat profesional untuk menjaga keselamatan caloncalon serta ahli-ahli parti politik yang giat berkempen.

Pertama kali saya lihat PDRM benar-benar teliti dan rapi menjaga semua ahli politik secara amat berkesan serta profesional. Hampir setiap program yang dihadiri diselia, dikawal dan dipantau PDRM.

PDRM langsung tidak menunjukkan sebarang sikap berat sebelah kepada manamana calon atau parti politik. Sesungguhnya, amat penting kepada semua parti politik untuk akur kepada prosedur operasi standard  (SOP) serta peraturan memohon permit daripada PDRM sebelum menganjurkan kempenkempen demi keselamatan.

Gerak kerja PDRM pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga amat sistematik dan menyeluruh.

Pertama kali saya lihat tenaga kerja PDRM di lapangan dikerah dengan begitu ramai kali ini. Anggota-anggota PDRM pula amat mesra. Pasukan gerak kerja saya di lapangan dalam kawasan Parlimen Titiwangsa berasa amat selesa dengan kehadiran anggota PDRM di setiap program dianjurkan. Diri saya merasa cukup selamat ke mana sahaja berkempen di seluruh Parlimen Titiwangsa.

Bila masuk ke kawasan kubu kuat UMNO pun saya diterima baik oleh rakyat dengan penuh kemesraan. Kemungkinan besar di kawasan Parlimen Titiwangsa, kami bertanding sesama sahabat karib tanpa sebarang unsur provokasi atau serangan peribadi yang menyebabkan suasana begitu aman damai di sini.

Program-program kempen oleh semua parti politik berjalan lancar dengan semangat harmoni.

Syukur alhamdulillah, saya diterima baik oleh semua pihak tanpa mengira kaum mahupun agama bila menganjurkan program-program walkabout serta menyantuni rakyat dari rumah ke rumah.-UTUSAN

DATUK SERI KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Calon Parlimen Titiwangsa

The post PDRM profesional jaga keselamatan sepanjang berkempen appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *