PETALING JAYA: Hasrat pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah untuk mara ke final Masters Indonesia tidak kesampaian selepas terkandas di peringkat separuh akhir sebentar tadi.
Pearly-Thinaah yang merupakan pilihan keenam kejohanan tewas kepada beregu No.11 dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-14, 21-19 pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan di Jakarta, Indonesia.
Kali terakhir pertemuan kedua-dua pasangan menyaksikan Pearly-Thinaah berjaya menang ke atas lawan mereka itu pada pusingan kedua Malaysia Master pada tahun lalu.
Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah gagal ke final dalam dua kejohanan berturut-turut selepas turut tewas di separuh akhir Terbuka India minggu lalu kepada beregu nombor dua dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Dalam aksi final esok, Yuki-Sayaka akan membuat perhitungan dengan beregu China, Liu Sheng Shu-Zhang Shu Xian yang menewaskan beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajonggjai dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Bagi Pearly-Thinaah, kejayaan mara sehingga separuh akhir dalam dua kejohanan berturut-turut merupakan permulaan yang baik selepas tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Malaysia sebelum ini.-UTUSAN ONLINE
The post Pearly-Thinaah gagal mara ke final Masters Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.