ALOR GAJAH: Hari terakhir berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), naratif yang dibawa pihak lawan kekal sama iaitu semata-mata ingin mengelirukan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Alor Gajah itu turut menyelar cara berkempen yang tidak menawarkan apa-apa kepada rakyat, sebaliknya memainkan spekulasi sama berulang kali.

Beliau menjelaskan, meskipun sudah pada saat-saat akhir sekalipun, parti lawan kekal mengulangi isu sama seperti dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibebaskan dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.

“Kempen pihak lawan sangat mudah, mereka tidak menawarkan apa-apa untuk rakyat. Mereka cuma kata undi BN bermakna Najib akan keluar penjara, sementara Ismail Sabri akan ditipu kerana orang lain yang akan jadi Perdana Menteri.

“Saya hendak tegaskan di sini calon Perdana Menteri sudah ditetapkan parti dan perkara ini turut disahkan oleh Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkali-kali. Tetapi mereka tetap mainkan perkara itu juga.

“Saya hendak ingatkan kepada rakyat secara terhormat, pihak yang keluar penjara selepas menang pilihan raya bukan BN, tetapi parti lain. Perdana Menteri sekarang daripada BN, tapi bekas Presiden kita pun masuk penjara,” katanya ketika ditemui di sini.

Shahril berdepan persaingan empat penjuru dengan calon PH yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; penyandang kerusi daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Muhammad Nazriq Abdul Rahman.

Naib Ketua Pemuda UMNO itu menegaskan, BN tidak sesekali menyalahgunakan kuasa atau campur tangan dalam kes-kes tertentu.

“Kita hanya fokus kepada manifesto dan tawaran kepada rakyat, contohnya skim bantuan pendapatan asas. Ini satu bantuan yang radikal, tidak perlu lagi tunggu Perdana Menteri buat sidang akhbar atau pengumuman.

“Inisiatif ini tidak pernah dibuat, satu benda yang BN pecah kepala hendak fikir apa yang sesuai kita tawarkan kepada rakyat. Ini bukan janji bulan dan bintang, tetapi yang nyata dan praktikal,” jelasnya. – UTUSAN

The post Pecutan terakhir kempen, lawan kekal ratib isu sama appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *