SEOUL: Seorang pegawai polis Korea Selatan yang sedang disiasat berhubung insiden perayaan Halloween di Seoul bulan lalu ditemui mati di rumahnya, disyaki membunuh diri.

Lapor BBC, lelaki berusia 55 tahun dikenali sebagai Inspektor Jeong, merupakan pegawai risikan yang bekerja dengan polis tempatan.

Jeong adalah suspek dalam penyiasatan berhubung tindak balas polis terhadap insiden yang mengorbankan 156 nyawa, dan mencederakan lebih 196 yang lain.

Beliau digantung tugas Rabu lalu selepas didakwa menutup kegagalan polis mengawal insiden itu.

Jeong dituduh mengarahkan rakan sekerjanya memadamkan laporan risikan mengenai amaran awal kemungkinan berlaku insiden serius yang sudah ditulis sebelum acara Halloween itu berlangsung.

Menurut laporan media tempatan, mayat pegawai itu ditemui ahli keluarganya di rumahnya di utara Seoul tengah malam kelmarin dan punca sebenar kematian masih lagi disiasat.

Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan telah mengerahkan 137 pegawai di Itaewon ketika sambutan Halloween 29 Oktober lalu tetapi masih tidak dapat membantu mengawal ratusan ribu golongan muda yang membanjiri kawasan berkenaan ketika itu.

Seluruh jabatan polis tempatan dan perkhidmatan bomba sedang disiasat kerana dikatakan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mencegah dan bertindak balas terhadap rempuhan maut itu.

The post Pegawai polis disiasat insiden Halloween ditemui mati appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *