KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis menafikan tiada saksi yang melihat remaja sindrom down, Bella didera oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di sebuah kondominium di sini.

Inspektor Suhaili Mahad memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau tidak bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa siasatan polis hanya berdasarkan kepada telefon bimbit dua saksi yang tiada di tempat kejadian.

Pada pemeriksaan balas, peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun mengemukakan cadangan kepada pegawai penyiasat itu bahawa siasatan polis hanya menjurus kepada telefon saksi yang tidak berada di kondominium tersebut.

Mohammad Farhan: Saya cadangkan tiada satu pun kandungan dalam telefon atau rakaman percakapan saksi secara spesifik yang menyatakan Bella didera.
Suhaili: Tidak setuju.

Mohammad Farhan: Selain dua telefon yang dirampas, tiada satu pun keterangan spesifik daripada kandungan video mahupun rakaman percakapan bahawa Bella didera.
Suhaili: Tidak setuju.

Mohammad Farhan: Jika demikian, sila tunjukkan melalui kandungan telefon yang dirampas dan rakaman percakapan bahawa Bella didera.
Suhaili: Tiada kaitan dengan siasatan saya.

Mohammad Farhan: Saya cadangkan pengetahuan puan mengenai siasatan hanya terhad bermula pada hari pertama terima kertas siasatan hingga ditukarkan ke bahagian lain.
Suhaili: Tidak setuju.

Terdahulu, pada pemeriksaan utama, Suhaili turut ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas mengapa polis tidak merampas telefon Siti Bainun.

Saksi menyatakan bahawa beliau tidak perlu berbuat demikian kerana keterangan saksi-saksi lain berdasarkan telefon bimbit mereka adalah mencukupi bagi melengkapkan siasatan.

Ujar beliau, siasatan terhadap Siti Bainun ketika itu hanya menjurus kepada kes pengabaian dan tiada kena mengena dengan kes penderaan.

“Ketika itu tiada saksi yang boleh menjelaskan kecederaan yang dialami oleh Bella dan fokus siasatan hanya tertumpu kepada keadaan ketika dia diselamatkan,” ujar saksi.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Siti Bainun, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor, Suhaili bersetuju bahawa tindakan Siti Bainun membawa Bella menetap di kediaman yang lebih baik (kondominium), bukan satu pengabaian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –UTUSAN

The post Pegawai polis nafi tiada saksi lihat Bella didera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *