KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga penyandang kerusi Parlimen Tambun akan menghalang pencabarnya iaitu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dari menawan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Faizal yang juga dikenali sebagai Peja itu berkata, Anwar yang juga penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu hanya ‘orang biasa’ dan yakin bahawa beliau mampu memberi saingan dengan calon Perdana Menteri daripada PH itu.

“Mungkin pada anda, dia (Anwar) orang kuat, tetapi, pada saya dia adalah orang biasa,” katanya kepada pemberita katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Bakal Calon Perikatan Nasional (PN).

Anwar adalah tonggak utama daripada PH apabila dipertaruhkan di Parlimen Tambun.

Oleh itu, parti pembangkang percaya bahawa dengan ketokohan yang ada, beliau akan membawa ‘gelombang’ besar dan membantu parti tersebut menawan negeri.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, beliau percaya bahawa perkhidmatan yang diberikan olehnya kepada rakyat di Tambun selama lima tahun akan dikenang.

“Bukan saya sahaja yang bertanding tetapi pasukan PN, kami yakin dengan perkhidmatan yang diberikan sepanjang lima tahun saya menjadi Ahli Parlimen dan kami akan perbaiki lagi. Kami yakin para pengundi akan terus memberi sokongan.

“Namun, kami akan tetap turun ke padang dan berkempen, insya-Allah doakan yang terbaik untuk kita semua,” katanya.

Menjawab soalan daripada pemberita yang meminta pendapatnya berkenaan Perak menjadi barisan hadapan untuk pembentukan kerajaan apabila kemungkinan dua calon Perdana Menteri bertanding di sana, Ahmad Faizal menepis dakwaan tersebut.

“Anwar dan kemungkinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk) sebagai Perdana Menteri? Tak mungkin kerana mereka bekerjasama. Mereka kena tentukan siapa jadi (Perdana Menteri sekiranya dua tokoh tersebut menang), saya rasa mereka mempermainkan diri mereka sesama sendiri,” ujarnya. –UTUSAN

 

The post Peja bakal hentikan ‘gelombang’ Anwar? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *