KULIM: Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian tangan, kepala dan kaki selepas ditetak dengan senjata tajam oleh dua lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Serai Wangi, Padang Serai, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa yang berseorangan ditetak dua suspek terbabit ketika berada di kawasan tempat meletak kenderaan pasar raya terbabit.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan kejadian terbabit sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian.

“Mangsa yang berlumuran darah akibat kecederaan yang dialaminya kemudian dibawa ke wad kecemasan Hospital Kulim dengan ambulans.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang juga pekerja di pasar raya tersebut berusia lingkungan 50-an dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd. Redzuan, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di wad hospital berkenaan.

Katanya, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan sedang memburu kedua-dua suspek terbabit manakala kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tetak itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 013-435 8399. –UTUSAN

The post Pekerja pasar raya cedera ditetak dua lelaki appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *