BESUT: Seorang pekerja syarikat penyelenggaraan yang dilaporkan terjatuh dari tingkat lima air terjun Taman Rekreasi Lata Tembakah, Hulu Besut pada Khamis lalu, ditemukan lemas, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat Abdul Wahab Mat Sulaiman, 25, dari Kampung Durian Telor, Jerteh dekat sini dijumpai kira-kira pukul 8 pagi.

Menurutnya, mayat mangsa ditemukan sejauh 700 meter dari lokasi mangsa terjatuh.

“Selepas lebih 60 jam operasi mencari, mayat mangsa ditemukan oleh anggota pasukan penyelamat dalam keadaan terapung di tingkat dua air terjun hutan lipur berkenaan.

“Mayatnya telah berjaya diturunkan dan dikeluarkan dari taman rekreasi pada pukul 10 pagi untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Besut bagi tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang Khamis lalu, mangsa dilaporkan terjatuh dari tingkat lima air terjun ketika sedang membaiki saluran paip sebelum operasi carilamat diaktifkan.

Operasi yang disertai anggota pelbagai agensi termasuk penduduk kampung itu kemudian menemukan sehelai baju dan sarung golok di tingkat dua dan tiga air terjun pada Jumaat. – UTUSAN

The post Pekerja syarikat penyelenggaraan ditemukan lemas di Lata Tembakah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *