SAUDARA PENGARANG,

TAKRIFAN rasuah adalah memberi sesuatu sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta benda, jawatan, perkhidmatan, janji manis dan sebagainya. Ia diberikan kepada orang tertentu yang tidak layak menerimanya.

“Kalau tinggal rumah sewa tapi beli kereta mewah, Amboi amboi…” Begitulah antara lirik dalam lagu Amboi nyanyian Altimet. Walaupun lagu tersebut berirama rap tetapi seni katanya menusuk ke tulang setiap rakyat Malaysia. Ini merupakan satu dakwah dalam bidang seni.

Seingat saya, sejak dulu lagi rakyat diingatkan tentang bahaya amalan rasuah. Sudah banyak kempen termasuk melalui media sosial telah dimaklumkan kepada penduduk Malaysia.

Ingat lagi kisah jerung dan ikan bilis? Kalau anda ada pilihan, bagi mengurangkan spesies ‘ketegar’ antara mereka berdua, apa yang akan anda lakukan?

Inilah sebenarnya perumpamaan antara golongan yang mengambil rasuah. Golongan jerung sebenarnya susah sikit hendak ditangkap. Dia punya mengelupur boleh tenggelam bot penangkap ikan. Akan tetapi ikan bilis mudah ditangkap, tak mengelupur pun. Tak kiralah siapa anda, salah tetap salah.

Sekarang ini, menurut perhatian saya sebagai pegawai badan berkanun dan penegak undang-undang, pelajar sekolah harus difahamkan dengan apa itu rasuah dan kesannya pada negara jika ia menjadi amalan turun-temurun.

Mengikut sejarah, runtuh kota Melaka kerana rasuah, runtuhnya pemerintahan khalifah Uthmaniyah di Istanbul pada 3 Mac 1924 juga kerana rasuah.

Di akhir zaman ini, jangan tidak tahu, dajal sebenar pun akan tawarkan rasuah bagi orang yang ingin menjadi pengikutnya. Kalau dajal tidak memberi rasuah, masakan ada pengikutnya.

Akhir sekali, jika tiada penawaran, masakan ada pembeli. Inilah realiti sebenar apabila banyak dilaporkan penerima rasuah ditangkap sebaliknya pemberi pula kadang-kadang atau jarang ditangkap. Sepatutnya, ia perlu seimbang kerana melakukan kesalahan sama.

Memasuki tahun baharu, utamakan diri dan rakyat, bebas dari rasuah prinsip paling utama. Bebas rasuah, bebas dadah, bebas dedah tetapi jangan bebas akidah. – UTUSAN

IBNU ARASY DZIKRULLAH
Kepala Batas, Pulau Pinang

The post Pelajar perlu faham kesan buruk rasuah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *