KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar universiti di sini mendakwa hampir menjadi mangsa jenayah siber apabila ditawarkan biasiswa palsu RM4,000 menerusi aplikasi Telegram, baru-baru ini.

Kong Hui Yuan, 21, berkata, kejadian berlaku apabila dia melihat tawaran biasiswa oleh seorang individu menggunakan nama ‘Dr. Sahira’ sebelum dia membuat permohonan melalui aplikasi sama.

Menurutnya, permohonan itu kemudian diluluskan ‘Dr. Sahira’ selepas dia memberikan maklumat peribadi seperti salinan kad pengenalan, nombor akaun bank dan gambar passport.

“Individu terbabit aktif dalam banyak kumpulan Telegram yang terdiri daripada ribuan pelajar universiti seluruh negara.

“Selepas permohonan diluluskan, saya diminta membayar RM200 sebagai deposit untuk biasiswa RM4,000, selain turut dijanjikan sebuah laptop oleh individu terbabit.

“Curiga dengan caj RM200 itu, saya membuat carian di media sosial dan menemui hantaran dimuat naik Dr. Sahira yang sebenar dengan menjelaskan namanya dicuri pihak tidak

“Saya kemudian membuat laporan polis pada 23 Disember lalu kerana bimbang identiti saya juga akan digunakan bagi tujuan yang menyalahi undang-undang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hui Yuan memberitahu, dia kemudian menyebarkan penipuan sindiket terbabit di kumpulan Telegram, namun tindakan itu menyebabkannya diugut oleh individu berkenaan.

Katanya, ramai rakan di  universiti itu dipercayai telah terpedaya sehingga ditipu setelah membuat bayaran antara RM150 sehingga RM200 seperti diminta namun tidak menerima biasiswa yang dijanjikan.

“Walaupun menyedari penipuannya telah dikesan, individu itu tetap mempromosi tawaran biasiswa palsu menggunakan nama lain sambil terus membuat ugutan kepada saya.

“Antaranya dengan mengancam untuk menggunakan identiti saya bagi niat jahat selain memberi amaran kejadian lebih buruk akan menimpa diri saya selepas ini,” jelasnya. – UTUSAN

 

The post Pelajar universiti diancam penjenayah siber appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *