MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yakin Pelan Alor Gajah Berwibawa mampu direalisasikan kerana manifesto itu dirangka berdasarkan realiti semasa.

Adly yang juga Pengerusi PH Melaka berkata, manifesto adalah satu perkara biasa ketika pilihan raya yang mana pelaksanaannya mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

Katanya, beliau akan memberi keutamaan kepada perkara-perkara asas dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya diberi mandat selepas 19 November ini.

“Perkara-perkara asas rakyat seperti pendidikan menjadi keutamaan saya. Para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar harus diberikan fokus agar mereka tidak menjadi generasi yang ketinggalan. Saya akan pastikan mereka bukan sahaja mendapat pendidikan berkualiti, tetapi juga infrastruktur yang lebih baik untuk belajar.

“Selain itu, dalam usaha menjadikan Alor Gajah sebagai bandar satelit, aspek asas yang perlu diberikan tumpuan adalah sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Peniaga-peniaga ini telah terkesan dengan keadaan ekonomi yang teruk sejak dua tahun lalu, maka mereka perlu kembali dibantu.

“Saya turut memberi keutamaan kepada isu keselamatan yang dibangkitkan penduduk seperti jalan berlubang dan ketiadaan lampu jalan terutamanya di kawasan sekitar Gadek dan Asahan. Kita harap perkara-perkara ini boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam sidang akhbar Pelancaran Pelan Alor Gajah Berwibawa di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, semalam.

Sementara itu, mengenai usahanya mengatasi banjir, Adly berkata, bencana alam itu boleh diatasi dengan menyegerakan projek tebatan banjir.

Kata bekas Ketua Menteri Melaka itu, beliau difahamkan kelulusan projek berkenaan telah diberikan, tetapi belum dilaksana.

“Kita tahu air datang dari Batang Melaka kemudian ke Gadek dan mengalir ke Pekan Alor Gajah. Isu ini adalah tebatan banjir yang sekian lama tidak dibuat sehinggalah PH mengambil alih, baru kita laksanakan di Bukit Katil dan Duyong.

“Jadi fokus saya dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya dipilih, paling tidak mesti selesaikan salah satu projek sama ada di Batang Melaka, Gadek, Alor Gajah atau Durian Tunggal,” ujarnya. – UTUSAN

The post Pelan Alor Gajah Berwibawa mampu dilaksanakan – Adly Zahari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *