JAKARTA: Pemerintah Bali mengumumkan larangan menyewa motosikal kepada warga asing di pulau peranginan itu.
Lapor detik.com, larangan itu dibuat berikutan masalah yang sering ditimbulkan warga asing ketika di jalan raya di Bali baru-baru ini.
Ramai warga asing dilaporkan tidak memakai topi keledar, menukar plat tanpa mengikut peraturan, memakai pakaian mencolok mata, malah, memaksa diri menunggang motosikal walaupun tidak pandai memandu.
Pengerusi Penyewaan Motosikal (PRM) Bali, Dedek Warjana bagaimanapun menganggap larangan pelancong asing menyewa motosikal untuk memandu di Bali terlalu tergesa-gesa dan beliau khuatir dasar itu akan membunuh perniagaan penduduk setempat.
“Peraturan ini harus diperketat. Kalau ada warga asing atau warga tempatan yang melanggar lalu lintas wajib diambil tindakan kerana warga asing sebenarnya meniru kebiasaan penduduk setempat,” katanya.
Jelas Dedek, pihaknya telah mendengar hasrat kerajaan agar pelancong asing menggunakan kereta daripada ejen pelancongan dan peraturan itu akan dilaksanakan tahun ini melalui Peraturan Gabenor mengenai Pengurusan Pelancongan Bali.
Bagaimanapun, Dedek berkata, larangan itu akan menimbulkan masalah baharu contohnya kesediaan kerajaan menyediakan pengangkutan awam.
“Dengan segelintir pelancong gemar menggunakan kenderaan beroda dua sahaja, sukar mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas yang agak teruk di beberapa kawasan di Bali,” katanya.
Dedek mendedahkan bahawa PRM Bali dan organisasi penyewaan lain di Pulau Dewata akan bertemu untuk membincangkan isu ini dan menuntut gabenor menilai peraturan yang dirancang melarang pelancong asing menyewa motosikal di Bali.
The post Pelancong dilarang sewa motosikal di Bali appeared first on Utusan Malaysia.