KOTA BHARU: Anggap pelanggan yang datang sebagai ahli keluarga. Konsep berkenaan digunakan oleh pemilik sebuah spa di Jalan Tengku Maharani Puteri di bandar ini hingga menyebabkan dia mempunyai lebih 2,000 pelanggan tetap.

Pemilik As Hair & Beauty Salon, Asmahanizan Hasan, 39, berkata, beliau menganggap semua pelanggan sebagai keluarga kerana mahu mereka selesa untuk mendapatkan rawatan dan perkhidmatan yang disediakan selain lebih dekat dengan dirinya.

Katanya, semua pelanggannya akan datang berkali-kali kerana gembira dengan layanan yang diberikan selain untuk mendapatkan rawatan di pusat kecantikan miliknya.

“Dengan bermodalkan wang sebanyak RM70,000, saya mula membuka spa ini sejak 16 tahun yang lalu selepas memperoleh pengalaman bekerja dengan pusat kecantikan lain selama dua tahun.

“Saya tidak menyangka kerana spa milik saya mendapat sambutan yang menggalakkan dan mereka yang datang ke sini kebanyakannya adalah pelanggan tetap.

“Pelbagai pakej yang saya sediakan termasuk rawatan kecantikan wajah dengan menggunakan mesin, urutan badan, rawatan resdung, cuci rambut, rawatan rambut dan jualan kosmetik,” katanya.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata, dia juga menawarkan pakej yang murah, bermula serendah RM8 sahaja untuk rawatan rambut dan RM10 bagi rawatan muka.

Katanya, dia mengenakan harga yang murah kerana mahu mereka yang kurang berkemampuan juga berpeluang untuk membuat rawatan di spa.

“Saya gembira jika semua pelanggan dapat membuat rawatan di spa ini tanpa mengira latar belakang. Jika mereka tiada wang saya akan memberikan secara percuma terutama untuk golongan warga emas dan pesakit mental.

“Selain itu, saya pernah mencuci rambut pesakit mental yang terbiar secara percuma dengan cara memotong rambut mereka dan meminta pesakit ini membersihkan diri.

“Perkara ini saya buat sebagai satu sedekah di samping mencari wang untuk diri,” katanya.

Menurutnya, dia mula membuat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bermula pada 2010 dengan modal permulaan sebanyak RM3,000.

Katanya, sehingga kini sudah lebih 20 kali dia membuat pinjaman AIM dengan jumlah sehingga RM30,000 untuk tambah modal pusingan bagi membeli produk untuk rawatan rambut, wajah dan jamu.

“Impian saya untuk memperbesarkan lagi perniagaan ini dan akan terus bersama AIM walaupun sudah berjaya kelak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada AIM kerana dengannya saya dapat meneruskan perniagaan ini,” katanya.

Menurutnya, premis dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari dan ditutup pada Selasa setiap minggu. Selain itu, pelbagai promosi SPA juga turut ditawarkan menerusi Facebook nya iaitu Pelangi Qaseh. Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut, boleh terus hubungi As Hair & Beauty Salon di talian 013-9165522 dan 013-9804348. – UTUSAN

The post Pelanggan adalah keluarga jadi konsep spa As Hair & Beauty Salon appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *