DOHA: Perang psikologi kian rancak menjelang pertemuan separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 membabitkan finalis 2018, Croatia yang akan membuat perhitungan dengan juara dunia dua kali, Argentina esok di Stadium Lusail, Doha.

Keyakinan anak buah Zlatko Dalic semakin bertambah setelah menyingkirkan juara lima kali, Brazil di peringkat suku akhir dengan penjaga gol mereka, Dominik Livakovic menjadi benteng penyelamat gawang pasukan Balkan itu.

Biarpun populasi penduduk Croatia adalah kurang daripada empat juta orang, Dalic berjaya menghimpunkan 26 orang pemain berkualiti dan bersemangat untuk kini selangkah sahaja lagi menyamai pencapaian mereka empat tahun lalu melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia.

Pemenang Ballon d’Or, Luka Modric, 37, tidak ingin lagi berduka kerana ini merupakan peluang terakhirnya mengejar keagungan tertinggi bola sepak dunia.

Situasi sama juga dirasai penye­rang Argentina, Lionel Messi yang acap­kali menerima badi malang di pentas antarabangsa.

Messi kini menggalas harapan besar membawa pulang Piala Dunia ke Buenos Aires selepas kali terakhir dilakukan pada 1986, setahun sebelum dia dilahirkan.

Bagaimanapun keadaan sedikit tegang di kem Albiceleste setelah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membuka kertas siasatan kesalahan disiplin membabitkan pemain dan pegawai ketika perlawanan menentang Belanda pada aksi suku akhir tempoh hari. – UTUSAN

The post Peluang Modric, Messi buru kemasyhuran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *