KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berusia antara 22 hingga 35 tahun yang pintar, berazam dan berbakat, berpeluang memohon penempatan jangka pendek di universiti, institusi dan organisasi terkemuka di peringkat global menerusi geran yang ditawarkan Merdeka Award Trust.

Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah Merdeka Award Trust, Kerina Fauzi berkata, geran tersebut khusus untuk mereka yang sedang mengusahakan penyelidikan atau menjalankan projek mendapatkan pengalaman daripada pakar antarabangsa dalam pelbagai bidang.

Ini termasuklah bidang pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti, pendidikan dan kerja komuniti, sains kesihatan dan teknologi, seni dan budaya, seni visual dan persembahan, warisan dan kerja sosial, sukan, ekonomi serta kewangan.

Katanya, ia sekali gus menggalakkan kepimpinan pemikiran dan inovasi, memupuk budaya kecemerlangan dan menggalakkan sudut pandang bertaraf dunia.

“Melalui geran ini, kami berhasrat untuk terus mewujudkan generasi rakyat Malaysia yang ingin mengecap kecemerlangan.

“Sepanjang beberapa tahun ini, kami telah melihat peningkatan bukan sahaja dari segi kualiti permohonan, malah kami turut menerima permohonan yang lebih banyak dan pelbagai.

“Selain itu, calon yang terpilih telah diterima masuk ke institusi terbaik dunia dengan lancar – memberi penunjuk yang menggalakkan bahawa bakat Malaysia terus berada di tahap yang membanggakan.

“Apabila mereka pulang ke tanah air, harapan kami adalah agar mereka dapat berkongsi penemuan dan pengalaman masing-masing demi impak yang lebih besar, ke arah masa depan yang mapan,” katanya dalam kenyataan.

Geran Anugerah Merdeka untuk penempatan antarabangsa yang ditawarkan setiap dua tahun sekali kini dibuka untuk permohonan sehingga 1 Mei 2023.

Penerima terpilih akan dianugerahkan dengan yuran pengajian penuh serta penginapan dan perjalanan yang ditanggung sepenuhnya sepanjang tempoh penempatan jangka pendek sehingga tiga bulan.

Seramai 24 individu daripada universiti awam dan swasta serta pelbagai organisasi telah dianugerahkan geran itu sejak dilancarkan pada 2012.

Mengenai proses pemilihan geran tersebut, kata Kerina, penerima yang layak dipilih melalui penilaian teliti oleh Sekretariat Anugerah Merdeka dan Jawatankuasa Pengasas daripada Petronas dan Shell, diikuti oleh Jawatankuasa Pemilihan manakala keputusan muktamad oleh Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka.

“Warganegara Malaysia yang beraspirasi digalakkan memohon sekarang di laman The Merdeka Award – Grant Application berserta dokumen dan butiran sokongan sebelum tarikh tutup permohonan,” katanya. – UTUSAN

The post Peluang rakyat Malaysia mohon Geran Anugerah Merdeka  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *