PETALING JAYA: Ng Tze Yong akan mengerah kudrat yang ada untuk menumpaskan pemain yang pernah mengecewakannya pada Sukan Komanwel, Lakshya Sen dari India pada pusingan kedua badminton Indonesia Masters di Stadium Istora, Jakarta hari ini.

Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang baru naik ke tangga kedua dunia pula berpeluang membalas dendam terhadap pasangan China, Liang Wei Kang-Wang Chang yang mengecewakan mereka di final Terbuka India minggu lalu.

Tze Yong, 22, berada pada ­prestasi terbaiknya ketika menyingkirkan pemain berpengalaman Denmark, Hans-Kristian Vittinghus 21-7, 21-14 dalam pusingan pembukaan perseorangan lelaki.

Lakshya yang diletak sebagai pilihan ketujuh pula mudah menewaskan naib juara Terbuka Malaysia, Kodai Naraoka dari Jepun 21-12, 21-11.

AARON CHIA-SOH WOOI YIK

Pertembungan Tze Yong-Lakshya ibarat ulangan final Sukan Komanwel di Birmingham, Ogos lalu, di mana pemain negara itu akur membawa pulang pingat perak dalam penampilan pertamanya selepas tewas tiga set, 21-19. 9-21, 16-21.

“Saya rasa saya beraksi lebih baik hari ini (semalam), dan berjaya mengawal angin dengan bagus berbanding lawan.

“Saya memang mahu kejar kedudukan ranking 20 terbaik tahun ini, terlebih dahulu, saya kena layak ke Sukan Olimpik kerana hanya 16 terbaik secara akan layak secara automatik dan saya perlu berusaha keras untuk ke arah itu,” jelas Tze Yong semalam.

Sementara itu, pasangan utama negara, Aaron-Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk meneruskan cabaran di pusi­ngan kedua selepas menewaskan rakan senegara, Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci 21-14, 21-9.

Aaron-Wooi Yik kini berpeluang membalas dendam terhadap Wei Kang-Wang Chang yang menafikan impian mereka untuk menjulang gelaran Jelajah Dunia pertama selepas tumpas 21-14, 19-21, 18-21 di India, Ahad lalu.

The post Peluang Tze Yong, Aaron-Wooi Yik balas dendam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *