DOHA: Pemain England mene­rima suntikan semangat menjelang pertemuan menentang Wales, Rabu ini apabila akhir­nya dibenarkan bertemu keluarga dan teman wanita yang berada di Qatar semalam.

Sekumpulan 50 ahli ­keluarga skuad England membuat lawatan pertama mereka ke Hotel Souq al Wakra, tempat penginapan Three Lions sepanjang Piala Dunia 2022.

Pengurus pasukan, Gareth Southgate mengakui, Harry Kane dan rakan-rakannya amat kecewa selepas seri 0-0 ­dengan Amerika Syarikat (AS) kelmarin, malah dikecam penyokong di stadium serta tanah air.

Jadi Southgate memberi kebenaran kepada pemain bertemu keluarga mereka di hotel buat kali pertama bagi menenangkan fikiran dan mengembalikan semangat.

Pemain dan keluarga mereka dilihat bersiar-siar di tepi pantai di belakang hotel, melalui pasar tempatan sebelum kembali ke hotel sekitar pukul 5.30 petang waktu tempatan.

Antara yang hadir keluarga Harry Maguire, 29, di mana ­isterinya, Fern membawa anak-anak mereka.

Isteri Kane, Katie Goodland turut hadir bersama dua anak mereka, selain teman wanita Jack Grealish, Sasha Attwood; isteri Jordan Pickford, Megan Davison serta teman wanita Bukayo Saka, Tolami Benson.

England mempunyai paling ramai pengikut ahli keluarga setiap kali bertanding di luar negara, dengan kira-kira 100 tempat duduk rasmi diperuntukan untuk mereka. – AGENSI

The post Pemain England akhirnya dibenarkan jumpa keluarga appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *