KUALA LANGAT: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda dipukul orang awam kerana didakwa mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal ketika membuat pusingan ‘U’ dekat persimpangan lampu isyarat di kilometer (KM) 13 Jalan Klang – Banting – Port Dickson pada 31 Disember lalu.

Lelaki warganegara China berusia 53 tahun itu didakwa membuat pusingan ‘U’ dekat tempat yang tidak dibenarkan menyebabkan pemandu sebuah kereta Daihatsu Charade cuba mengelaknya namun tetapi bergesel dengan sebuah motosikal.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh, cubaan mengelak pemandu terbabit menyebabkan penunggang motosikal jenis SYM 110 terjatuh sebelum digilis sebuah lori.

“Ini menyebabkan sebuah kereta Daihatsu Charade yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah sama terpaksa masuk ke lorong kiri untuk mengelak daripada melanggar Hilux tersebut.

“Namun, pemandu Daihatsu Charade memasuki lorong berkenaan tanpa melihat dahulu keadaan lalu lintas di sebelah kiri, lantas mengakibatkan pelanggaran dengan motosikal yang ketika itu ditunggang dekat lorong berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, akibat pelanggaran tersebut penunggang motosikal tercampak ke bawah bawah sebuah lori treler kemudian digilis dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kaki serta kemaluan.

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan memaklumkan, lelaki yang memandu kereta jenis Toyota Hilux itu kemudian dipukul orang awam yang tidak berpuas hati dengan tindakannya membuat pusingan U di kawasan larangan dan mengakibatkan kemalangan tersebut.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit cuma mengalami kecederaan ringan. Tindakan saman telah dikeluarkan ke atas suspek di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang tiada lesen memandu yang sah dan dia turut disiasat di bawah Seksyen 41(1) akta sama,” jelasnya.

Tambah beliau, bagaimanapun pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kes pukul tersebut.

Kata Ahmad Ridhwan lagi,  kertas siasatan bagi kes berkenaan akan dimajukan kepada timbalan pendakwa raya setelah mendapat laporan pakar untuk membuat pertuduhan kes.

“Saksi bebas yang melihat kemalangan ini berlaku atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian kemalangan ini bolehlah menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Fatin Husna Binti Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau 03-31872222,” ujarnya. – UTUSAN

The post Pemandu dipukul kerana didakwa sebabkan kematian penunggang motosikal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *