BENTONG: Seorang pemandu lori penghantaran barang kurier berusia 46 tahun maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 42 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) (hala ke Barat) di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.50 pagi itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi pemandu treler lelaki tempatan berusia 30 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan polis mendapati, lori kurier dari arah Bentong menghala ke Kuala Lumpur mengubah haluan masuk ke lorong kiri untuk memotong kenderaan di hadapan. 

“Lori kurier berkenaan kemudian melanggar bahagian belakang sebuah treler muatan sawit seberat 50 tan yang berada di lorong kiri tersebut. Pelanggaran tersebut mengakibatkan pemandunya mengalami kecederaan teruk di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

The post Pemandu lori barang kurier maut rempuh treler di Bentong appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *