KUALA TERENGGANU: Perbuatan keji seorang pemandu lori tergamak merogol anak tirinya membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara 19 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Nooriah Osman turut mengenakan hukuman 20 sebatan selepas tertuduh yang berusia 30 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun di sebuah rumah di daerah Marang pukul 3 pagi pada Oktober 2021.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan keji itu di lokasi sama kira-kira pukul 3 pagi, bulan lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Sebaik sahaja pengakuan bersalah direkodkan, tertuduh dikenakan hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan pertama dan lapan tahun penjara serta 10 sebatan untuk kesalahan kedua.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman secara berasingan bermula tarikh ditangkap iaitu 12 November.

Prosiding pendakwaan dikendalikan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

The post Pemandu lori mengaku salah rogol anak tiri  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *