MELAKA: Pemandu lori penyelenggaraan yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan tiga sekeluarga di Kilometer 216 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara berhampiran Alor Gajah di sini semalam, direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. 

Suspek yang berpakaian lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah, Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.50 pagi dengan diiringi anggota polis.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Ayer Keroh, Syarina [email protected] terhadap lelaki berusia 43 tahun itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, perjalanan sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia setahun dari Johor Bahru, Johor untuk bercuti di ibu negara bertukar tragedi selepas ketiga-tiganya maut dalam kemalangan di Kilometer 216 PLUS arah Utara berhampiran Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, lori jenis Isuzu yang sedang menjalankan kerja pembaikan pembahagi jalan tengah telah berhenti di lorong paling kanan dan proses meletakkan kon.

Beliau berkata, kereta dinaiki mangsa jenis Honda Jazz yang datang dari arah belakang telah melanggar lori tersebut.

Dalam pada itu, jenazah tiga beranak itu selesai menjalani proses bedah siasat pukul 12 malam tadi di Hospital Alor Gajah dan akan dibawa ke Bukit Pasir, Muar, Johor untuk dikebumikan. – UTUSAN

 

The post Pemandu lori penyelenggaraan PLUS direman tiga hari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *