KULAI: Pemandu lori yang disyaki menjadi punca kemalangan melibatkan lima kenderaan yang meragut dua nyawa di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini, Sabtu lalu ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, pemandu lori berusia 37 tahun dari Shah Alam, Selangor  itu ditahan semalam bagi membantu siasatan.

Katanya, polis turut memanggil semua individu terlibat untuk memberikan keterangan berhubung kemalangan membabitkan dua lori dan tiga kereta itu.

“Pemandu lori ditahan semalam. Pada masa sama, kita turut memanggil empat individu yang terlibat bagi memberikan keterangan. Kita sudah mendapatkan permohonan reman empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya. 

Tok Beng Yeow

Sabtu lalu, dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan melibatkan dua lori dan tiga kereta di lokasi berkenaan selepas mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kepala sebelum rentung.

Insiden itu menjadi tular dalam media sosial selepas klip video menunjukkan sebuah kereta marak terbakar dengan suara seorang suami meraung memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan itu.

Identiti seorang lagi mangsa dari kereta berasingan belum dikenal pasti. Jenazah Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, yang maut dalam kemalangan ngeri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi, kira-kira 3.40 petang semalam.

Siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila pemandu lori dari arah Ayer Hitam ke Johor Bahru memandu di lorong kiri jalan dilanggar dari belakang oleh pemandu kereta jenis Proton Preve yang datang dari arah sama.

Pada masa sama, pemandu kereta jenis Proton Wira melanggar belakang Proton Preve dan pemandu sebuah lagi kereta (jenis tidak pasti) melanggar bahagian belakang Proton Wira. Sebuah lori kemudian merempuh Proton Wira dinaiki Nurul Nazihah dan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti hingga menyebabkan kenderaan tersebut terbakar.

Sementara itu, Beng Yeow memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai bagi tujuan bedah siasat manakala kenderaan terlibat dibawa ke Puspakom Senai untuk pemeriksaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

 

The post Pemandu lori terlibat kemalangan ragut dua nyawa di Kulai ditahan reman appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *