IPOH: Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 69, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik pada 29 Oktober lalu, mempunyai 10 rekod kesalahan trafik.

Kejadian pada pukul 11 pagi itu telah menyebabkan kecederaan parah kepada salah seorang mangsa apabila wanita berusia 31 tahun itu keguguran anak di dalam kandungan berusia lapan bulan.

Dalam kejadian sama, pemandu kereta jenis Honda City cedera ringan manakala pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, saman bagi pelbagai kesalahan itu direkodkan sejak tahun 2012 hingga 2022.

“Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada hari kejadian ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Batu Melintang Jeli, Kelantan dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan, kemalangan itu berpunca daripada muatan siling putih yang dibawa treler berkenaan jatuh di atas jalan ketika melalui selekoh dan menimpa kenderaan jenis Subaru Forester dinaiki wanita terbabit,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kertas siasatan kes berkenaan kini dikemaskini dan sedang menunggu laporan perubatan mangsa dari Hospital Tanah Merah, Kelantan.

Katanya, kes itu juga telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial luahan suami kepada mangsa yang berang dengan tindakan cuai pemandu treler itu kerana menjadi punca kepada nahas yang mengorbankan bayi dalam kandungan isterinya.

Turut dimuatnaik dalam kumpulan Facebook Dashcam Owners Malaysia itu video berdurasi 15 saat memaparkan kejadian siling putih dibawa treler itu jatuh di atas jalan ketika melalui selekoh hingga menyebabkan kemalangan. – UTUSAN

The post Pemandu treler terlibat kemalangan empat kenderaan ada 10 saman appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *