SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memasang kerusi bernombor di tempat duduk penonton di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini bermula bulan Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, kemudahan tersebut selain memberikan keselesaan kepada penonton turut bagi membolehkan stadium berkenaan menganjurkan pelbagai kejohanan dan pertandingan antarabangsa.

“Ia melalui pinjaman mudah oleh kerajaan negeri kepada pihak bertanggungjawab iaitu Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan peruntukan RM1.2 juta. Stadium ini akan dinaik taraf kerusi bernombor seperti di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

“Ia adalah satu syarat bagi menjadikan stadium ini menjadi lokasi diiktiraf antarabangsa, jadi stadium ini perlu berada di tahap terbaik.  Dijangka penukaran kerusi akan bermula dalam tempoh tiga bulan daripada sekarang yang menelan belanja RM1.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar mempromosikan Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan Piala Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan 2023 di Wisma Negeri di sini hari ini.

Menurut Mohamad Taufek, dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta itu, ia dijangka dapat memasang sebanyak 30,000 kerusi bernombor di stadium berkenaan.

“Bagaimanapun, jika mencukupi, kami akan menukar kesemuanya kepada kerusi bernombor di stadium yang dianggarkan boleh memuatkan sehingga 45,000 penonton dalam satu-satu masa itu,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, semalam dan telah menyampaikan hasrat bagi menukar rumput sedia ada di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kepada rumput jenis Zeon Zoysia. 

“Semalam saya bermesyuarat dengan Hannah Yeoh, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah bersetuju membantu kerajaan negeri untuk menukar jenis rumput yang sedia ada di stadium di negeri ini. 

“Rumput itu dikenali jenis Zeon Zoysia yang tahan lasak dengan cuaca hujan dan tahan panas. Tawaran yang diberikan KBS adalah dengan membantu sebanyak 50 peratus kos penukaran rumput manakala 50 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya. 

Sementara itu, Mohamad Taufek berkata, sebanyak 83 pasukan yang melibatkan seramai 1,500 orang pesilat akan menyertai Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan Piala Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan 2023 yang bakal berlangsung di Centre Court, Paroi bermula 27 hingga 29 Januari ini.

“Terdapat tujuh kategori yang menampilkan pesilat seawal usia enam tahun hingga 21 tahun. Juara keseluruhan akan membawa piala dan wang tunai sebanyak RM3,000 selain turut menampilkan tujuh piala keseluruhan mengikut kategori,” katanya.-UTUSAN.

 

The post Pemasangan kerusi bernombor di Stadium Paroi bermula Mac 2023 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *