GEORGE TOWN: Kerja-kerja pembangunan semula Astaka Stadium Bandaraya di Jalan Perak, di sini yang terlibat dalam kejadian kebakaran awal pagi Rabu lalu, akan dijalankan secepat mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, buat sementara peniaga-peniaga yang terjejas ditempatkan di tapak perniagaan yang akan disediakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

”Kita telah arahkan projek baharu dimulakan secepat mungkin susulan kebakaran yang berlaku di Astaka Stadium Bandaraya baru-baru ini.

”Cuma saya minta kesabaran semua pihak kerana projek baharu ini akan mengambil masa, paling penting kerajaan negeri akan biayai semua kos,” katanya selepas meninjau Astaka Stadium Bandaraya, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, lapan lot gerai di astaka berkenaan musnah dalam kebakaran bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Antara lot gerai yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu ialah kedai tomyam, kedai nasi campur, kedai minuman dan sebagainya.

Susulan kebakaran itu, kesemua aktiviti perniagaan melibatkan 18 penggerai di astaka tersebut dihentikan atas faktor keselamatan.

Menurut Jagdeep, beliau juga telah mengarahkan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memeriksa keselamatan di bangunan-bangunan awam bagi mengelakkan berlakunya kejadian kebakaran seperti di astaka berkenaan.

”Saya difahamkan oleh pihak bomba punca kejadian kebakaran di astaka ini mungkin disebabkan oleh litar pintas.

”Oleh sebab itu, saya telah arahkan MBPP dan MBSP memeriksa tahap keselamatan di bangunan-bangunan awam di seluruh negeri ini agar keselamatan orang ramai terjamin,” katanya.

Selain itu, tambahnya, bagi meringankan beban peniaga yang terjejas akibat kebakaran itu, beliau telah menyumbang RM44,000 kepada peniaga di astaka berkenaan.

“Selain itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut menyumbang sebanyak RM44,000 kepada kesemua peniaga terlibat bagi meringankan beban mereka,” katanya. – UTUSAN

The post Pembangunan semula Astaka Stadium Bandaraya dimulakan secepat mungkin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *