DUNGUN : Seorang pembantu kedai kosmetik berdepan detik cemas selepas didatangi seorang lelaki bersenjatakan pisau dalam kejadian samun di premis kedainya di Jalan Pak Sabah, dekat sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi. 

Menceritakan detik cemasnya, Nurul Farisha Muhamad, 26, berkata, ketika kejadian, dia yang berseorangan menyangkakan lelaki yang masuk ke premis itu mahu membeli barang. 

“Dia masuk kedai, terus meluru ke arah saya yang sedang duduk di kaunter pembayaran. Dia mengacukan sebilah pisau ke arah saya sambil meminta wang dan meminta saya supaya tidak menjerit. 

“Bimbang dicederakan, saya tidak berfikir panjang sebab panik dan takut. Saya terus menyerahkan wang dalam anggaran RM500 kepada lelaki tersebut dan lelaki itu terus melarikan diri,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini. 

Nurul Farisha berkata, dia kemudiannya terus berlari mengunci pintu kedainya kerana bimbang lelaki tersebut akan kembali dan kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata, pihaknya sedang giat mengesan lelaki tersebut. 

“Berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV), kita dapati jarak suspek dengan mangsa lebih kurang satu meter dan dihalang kaunter pembayaran. Senjata yang digunakan suspek disyaki sebilah pisau pemotong dianggarkan sepanjang 10 sentimeter. 

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak polis sedang melakukan siasatan lanjut serta memburu suspek yang mana dalam CCTV tersebut, suspek tidak memakai pelitup muka,” katanya. 

Menurutnya, setakat ini pihak polis percaya suspek melakukan kejadian itu bersendirian dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

The post Pembantu kedai cemas didatangi lelaki bersenjata pisau appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *