IPOH: Seorang pembantu tadbir sebuah sekolah di Trong, Taiping didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 57 pertuduhan memalsukan dokumen bagi kemasukan wang sewaan kantin berjumlah RM28,797.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin turut memerintahkan Muhamad Syazwanuddin Sahimi, 35, dipenjara 13 bulan dan empat hari lagi jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan curang menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun RHB Bank Berhad dengan nombor akaun 20808910141180 bagi tempoh 2014 hingga 2019.

Dokumen atas nama Sekolah Kebangsaan Toh Johan itu adalah untuk tujuan kemasukan wang sewaan kantin dengan jumlah keseluruhan RM28,797 melalui ‘cash deposit’ yang diketahui sebagai dokumen palsu.

Dia yang bertugas sebagai pembantu tadbir (pengkeranian/operasi) Gred N19 di Sekolah Kebangsaan Toh Johan dalam daerah Trong itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sekolah berkenaan antara tahun 2014 hingga 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Aidil Arsad.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menggunakan perisian Adobe Photoshop CS3 Window untuk membuat pindaan terhadap dokumen penyata RHB Berhad dengan komputer miliknya.

Tertuduh juga menggunakan aplikasi berkenaan dengan mengubah resit CDM RHB Bank Berhad bagi setiap kemasukan wang sewaan kantin sekolah dari tahun 2014 hingga 2019.

Hasil semakan mendapati, sepanjang tempoh tersebut, tertuduh telah gagal memasukkan wang berjumlah RM28,797 ke dalam akaun sekolah sebaliknya digunakan untuk tujuan peribadi. – UTUSAN

The post Pembantu tadbir sekolah didenda RM40,000 palsukan dokumen wang sewaan kantin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *