SEREMBAN: Sebuah premis pemborong barang runcit di Nilai 3, Nilai di sini dikenakan tindakan setelah didapati gagal menyelenggara buku stok barangan kawalan dalam operasi Op Terjah pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam operasi pada pukul 12.30 tengah hari itu, premis berkenaan didapati menawar dan membekalkan barangan kawalan seperti minyak masak, gula, dan tepung gandum untuk diedarkan kepada peruncit. .

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati, premis itu gagal menyelenggara buku stok barangan kawalan iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum. 

“Para peniaga berlesen yang berurusan dengan barangan kawalan adalah wajib untuk menyelenggara buku stok barang kawalan dengan sempurna dan kegagalan melakukannya boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 13 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Menurut Muhammad Zahir, dalam serbuan itu, sebanyak 3,768 kilogram (kg) minyak masak, 200 kg tepung gandum, 312 kg gula serta dokumen-dokumen berkaitan telah disita bagi tujuan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM12,234.80. 

Beliau berkata, KPDN Negeri Sembilan komited dalam pemantauan berkaitan barangan keperluan asas pengguna terutamanya berkaitan barangan kawalan untuk mencegah sebarang aktiviti penyelewengan di pasaran.-UTUSAN.

 

The post Pemborong barang runcit gagal selenggara buku stok barang kawalan kena tindakan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *