KANGAR: Pihak berkuasa akan meningkatkan pemeriksaan ke atas setiap pemandu bas di Terminal Bukit Lagi di sini menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, Ahad ini.

Pemeriksaan melibatkan pengesanan ujian air kencing itu akan dilaksanakan sebelum pemandu bas memulakan perjalanan bagi memastikan mereka tidak berada di bawah pengaruh dadah seterusnya menjamin keselamatan penumpang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri, Izizam Ibrahim berkata, pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan ditempatkan di terminal berkenaan pada musim perayaan ini bagi menjalankan pemeriksaan ujian air kencing ke atas pemandu bas terlibat.

“Sekiranya ujian air kencing mereka positif, maka tindakan akan dikenakan serta-merta di terminal itu juga. Pihak pengurusan bas juga perlu bertanggungjawab sekiranya ada di antara pemandu dikenal pasti positif dadah sebelum memulakan perjalanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2023 peringkat negeri ini di Terminal Bas Bukit Lagi di sini hari ini.

Selain AADK, terdapat beberapa agensi lain turut sama dalam program berkenaan terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan lain-lain.

Terdahulu, Izizam yang juga merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya negeri turut berkesempatan membuat simbolik penyerahan topi keledar secara percuma dan memberi advokasi kepada golongan penghantar makanan di sini.

Dalam pada itu, Izizam berkata, kerjasama setiap agensi terlibat yang turut sama dalam program itu adalah amat baik dan teratur.

“Setiap agensi memainkan peranan dengan baik dan terdapat juga kaunter turut dibuka bagi membolehkan sebarang aduan dibuat bersempena Tahun Baharu Cina ini,” katanya.

Tambahnya, kesedaran berhubung aspek keselamatan jalan raya juga perlu diberi penekanan kepada kumpulan motosikal atau ‘mat motor’ yang kebanyakan terdiri daripada golongan muda di negeri ini.

“Perlis ini sememangnya mempunyai ramai ‘mat motor’ dalam kalangan anak muda dan selepas ini, mungkin kita boleh masuk ke sekolah-sekolah atau kampung untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang keselamatan jalan raya,” katanya.-UTUSAN

The post Pemeriksaan ke atas pemandu bas ditingkatkan menjelang Tahun Baharu Cina appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *