KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang paling tepat untuk memimpin Malaysia mendepani kejatuhan ekonomi selain menstabilkan kembali politik dalam negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Anwar juga mampu menaikkan semula nama dan imej Malaysia di mata dunia dengan pengalaman yang beliau ada selama ini.

Sehubungan itu, menurutnya, rakyat Malaysia perlu bersama-sama mendoakan kerajaan perpaduan ini dibimbing Allah SWT dan disokong padu oleh rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

“PH Terengganu menzahirkan ucapan jutaan tahniah kepada Anwar di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong yang melantik beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. 

“PH Terengganu juga bersyukur dan menjunjung kasih ke atas kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam menangani isu pelantikan Perdana Menteri ke-10 dengan meletakkan kebajikan dan perpaduan rakyat jelata serta negara sebagai keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara sebentar tadi. –UTUSAN

The post Pemilihan Anwar PM ke-10 paling tepat  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *