SAUDARA PENGARANG,

KEMUNCULAN ramai pemimpin muda mentadbir negeri dan negara semakin ketara pada masa ini dan hal itu adalah perkara yang sangat kita alu-alukan.

Di Johor, kami berbangga dengan pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar bermula Mac lalu. Beliau yang berusia 43 tahun telah menunjukkan keterampilan dan kewibawaan dalam masa yang singkat.

Sebaik sahaja dilantik, beliau menggerakkan usaha turun padang menyelesaikan masalah rakyat. Lawatan beliau ke Kompleks Kastam dan Imigresen di Johor Bahru adalah bagi melihat sendiri kesesakan dan kerosakan di situ.

Beliau turut keluar dan membuat lawatan mengejut untuk memeriksa jalan-jalan yang berlubang dan rosak serta bertemu dengan orang ramai. Kehadiran beliau tidak disedari masyarakat kerana beliau melindungi wajahnya. Aspek kebersihan amat ditekankan dan gerak kerja pembersihan beliau tekankan.

Menariknya, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, Johor berjaya mendapat RM60.9 bilion pelaburan langsung asing dan mewujudkan 7,500 peluang pekerjaan. Pelaburan berkualiti yang beliau tekankan mula membuahkan hasil.

Imej beliau yang mesra rakyat, bekerja keras, turun padang dan berinovatif, amat dekat di hati rakyat Johor. Imej positif ini menjalar ke segenap pelosok pentadbiran kerajaan dan rakyat jelata.

Sebagai orang muda, beliau amat menghargai belia dan telah berjanji untuk tidak membelakangkan orang muda Johor yang berjumlah dua juta orang. Malah, 70 peratus Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berusia lebih muda daripada beliau.

Sinergi dan komitmen membangunkan negeri Johor begitu menyerlah. Lebih banyak sedang dirancang untuk negeri. Matlamat menjadikan Johor negeri maju pada 2030 tidak akan kesampaian tanpa dukungan kuat orang muda. – UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor

The post Pemilihan Menteri Besar Johor tepat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *