BALING: Pemilik anjing yang menyerang orang awam di Kuala Ketil, di sini, telah dikenakan kompaun kerana memelihara tiga ekor anjing tanpa lesen sah daripada Majlis Daerah Baling (MDB) selain kes masih disiasat polis.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, Unit Penguat kuasa MDB membuat pemeriksaan ke atas rumah pemilik anjing di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil pada pukul 4 petang kelmarin.

“Hasil pemeriksaan mendapati, pemilik rumah tersebut memelihara tiga ekor anjing iaitu dua ekor jenis Rottweiler dan seekor jenis Golden tanpa lesen sah daripada MDB.

“Tiga kompaun telah dikeluarkan di bawah Seksyen 3(1) iaitu memelihara anjing tanpa lesen sah dan pihak MDB telah ambil tindakan tegas dengan memberi saman kompaun sebanyak RM900 kepada pemilik haiwan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan dua lelaki cedera akibat diserang tiga ekor anjing selepas haiwan tersebut dipercayai terlepas daripada kurungan di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil kira-kira pukul 7 pagi.

Menurutnya, pihaknya juga telah menghubungi dua mangsa yang cedera iaitu Abdelsattar Abdelwahab Ayoub Othman, 57, pensyarah dari Mesir dan tinggal di Taman Desa Bidara serta seorang lagi mangsa, L. Marutu Pandian, pekerja kilang yang juga tinggal di kawasan itu.

Kedua-dua mangsa sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim dan hasil pemeriksaan pakar mendapati Abdelsattar Abdelwahab mengalami kecederaan separa parah akibat luka gigitan anjing pada lengan kanan dan kiri, paha kanan serta betis kanan dan kiri. 

Marutu Pandian pula mengalami kecederaan di bahagian kepala, luka pada bahagian betis kanan dan kiri serta lengan kiri. 

“Kedua-dua mangsa dalam keadaan stabil tetapi dinyatakan masih lagi memerlukan rawatan susulan di hospital berkenaan,” ujarnya.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika Abdelsattar Abdelwahab dalam perjalanan pulang dari masjid sebelum diserang tiga ekor anjing tersebut.

“Seorang lagi mangsa yang tinggal berhampiran mendengar mangsa menjerit lalu menolongnya dengan membawa sebatang kayu bagi menghalang anjing-anjing tersebut.

“Malangnya, dia pula diserang anjing tersebut sehingga isteri pemilik anjing sampai dan menghalang haiwan tersebut daripada terus mencederakan kedua-dua mangsa,” jelasnya.

Tambahnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

The post Pemilik anjing serang dua lelaki dikompaun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *