JOHOR BAHRU: Seorang pemilik stesen minyak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas empat pertuduhan memalsukan dokumen dan memperdayakan seorang ahli perniagaan untuk menyerahkan RM2.3 juta, Jun tahun lalu.

Tertuduh, Hanafi Husin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, dia didakwa menipu seorang lelaki berusia 34 tahun untuk menyerahkan wang berjumlah RM2.3 juta secara tunai dan dimasukkan ke dalam akaun miliknya dengan cara menawarkan untuk menjalankan perniagaan minyak diesel secara sah.

Bagi pertuduhan kedua, Hanafi didakwa telah menggunakan satu dokumen palsu, iaitu surat persetujuan penjualan rampasan minyak diesel bertarikh 23 Mei 2022 daripada pihak Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Johor bagi memperdayakan ahli perniagaan terbabit.

Mengikut pertuduhan ketiga, dia didakwa menggunakan satu dokumen palsu, iaitu surat sokongan perlesenan gas petroleum cecair (LPG) daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Johor untuk menipu mangsa dengan menyerahkan wang tersebut.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh menggunakan surat status kapasiti bawah tanah bagi produk diesel atau petrol dan sokongan bagi membekalkan RON97/diesel bagi premis Kawasan Perindustrian Pasir Gudang bertarikh 20 Jun lalu daripada Boustead Marketing Sdn. Bhd.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikat milik tertuduh di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini pada 12 Jun 2022.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan, namun peguam tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan yang setimpalnya.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Januari ini bagi tujuan penyerahan dokumen. – UTUSAN

The post Pemilik stesen minyak mengaku tak salah perdaya ahli perniagaan RM2.3 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *