MARANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyelar tindakan segelintir pemimpin Pas yang mengeluarkan hukum undi BN dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kempen pemimpin Pas yang menggunakan agama termasuk menentukan  syurga dan neraka kepada pengundi dianggap sebagai keterlaluan.

Menurutnya, kenyataan itu dilihat boleh mengelirukan dan memecah-belah perpaduan dalam kalangan pengundi Islam.

“Kita orang Islam tidak berhak mengkafirkan sesama islam. Siapa kita, tidak diberi lesen atau tauliah oleh Allah untuk mengkafirkan orang.

“Orang yang tidak tahu agama pun tidak sanggup kata begitu, apatah lagi mereka yang belajar agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas  program sarapan pagi bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Kampung Sungai Kerak di sini, hari ini.

Pada 11 November lalu, Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir tampil memohon maaf ekoran keterlanjurannya membuat kenyataan bahawa sesiapa yang mengundi BN dan PH akan masuk neraka. 

Permohonan maaf tersebut dibuat menerusi satu video ringkas berdurasi 34 saat yang dipaparkan dalam laman media sosial Facebook Pemuda Pas Sik pada hari tersebut.

Ahmad yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman berkata, kempen secara melampau itu tidak sepatutnya berlaku lagi pada PRU15 ini.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pula berkata, kes penceramah Pas yang terlanjur membuat kenyataan tersebut adalah kes terpencil.

Malah, katanya, individu terbabit juga membuat permohonan maaf secara terbuka setelah berlaku khilaf dalam pandangannya pada ceramah tersebut.

“Saya difahamkan Individu yang membuat kenyataan sedemikian telah memohon maaf apabila berlaku khilaf dalam padangan dia.

“Jadi saya rasa tidak wajar diperbesarkan dalam keadaan beribu penceramah yang akhirnya seorang lakukan, itu pun telah minta maaf,” ujarnya. –UTUSAN

The post Pemimpin Pas keterlaluan keluar hukum undi BN, PN masuk neraka appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *