KUALA LANGAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah melakukan banyak reformasi semasa mentadbir negara dalam masa lebih setahun.

Menurut calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Langat , M. Mohana, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) semasa mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bukan sahaja gagal melakukan reformasi seperti mewujudkan akta lompat parti, malah gagal melaksanakan manifesto dijanjikan.

“Apa yang boleh saya komen tentang parti PH yang tidak habis-habis menyebut dan melaung-laungkan agenda reformasi, ada baiknya pemimpin mereka mengubah diri sendiri terlebih dahulu.

“22 bulan mentadbir negara apa agenda reformasi yang mereka buat sampaikan berlaku pertukaran kerajaan sebanyak dua kali. Sudah diberi peluang mentadbir tetapi tidak menggunakannya untuk melakukan reformasi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kempen dengan Ketua Unit Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat di Teluk Panglima Garang malam tadi.

Mohana yang merupakan Ketua Wanita MIC Kebangsaan berkata, Kerajaan Negeri Selangor mentadbir negeri selama tiga penggal sejak PRU12 turut gagal melakukan reformasi dalam pentadbiran hingga berlaku Langkah Kajang menyebabkan Menteri Besar ditukar.

“Jadi lebih baik kerajaan negeri di bawah PH untuk fokus melakukan reformasi dalam aspek infrastruktur seperti segera mewujudkan projek tebatan banjir kerana hujan lebat tidak mengira waktu akibat perubahan cuaca. Jangan asyik menyalahkan BN dalam semua perkara sedangkan diri sendiri yang enggan berubah.

“Namun apa yang paling penting adalah, pemimpin PH yang sanggup melompat parti dan menukar kawasan Parlimen demi kemenangan pada PRU15 sedar diri dan melakukan reformasi diri sendiri,” katanya. – UTUSAN

The post Pemimpin PH perlu reformasi diri dahulu  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *