GUA MUSANG: Komuniti Orang Asli di sini merungut apabila laluan yang menghubungkan penempatan mereka rosak gara-gara aktiviti lasak kenderaan pacuan empat roda.

Malah, keadaan laluan yang menghubung penempatan me­reka dengan jalan raya utama dijangka bertambah teruk menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula November ini.

Antara perkampungan yang teruk terkesan dengan aktiviti peminat sukan lasak itu ialah Kampung Pos Gob, Pos Balar, Pos Bihai serta Pos Tohoi.

Seorang penduduk Orang Asli Kampung Kajang, Pos Gob, Radi Uda, 51, berkata, mereka cukup terkesan apabila tidak dapat keluar ke bandar menggunakan jalan balak kerana laluan rosak dilalui kenderaan tersebut.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih parah terutama ketika mereka berdepan kes kecemasan seperti sakit atau mahu bersalin kerana tidak keluar menggunakan jalan darat.

“Jika orang kampung sahaja yang menggunakan, jalan ini tidak akan jadi rosak macam ini. Tetapi bila ada yang masuk untuk bermain pacuan empat roda pada hujan tetapi kami orang kampung yang terseksa.

“Akibatnya, kami memerlukan masa hingga hampir 12 jam untuk keluar dari kawasan kampung ke bandar Gua Musang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, John Busu, 36, memberitahu, sejak bulan September lalu sudah lebih lima kali dia terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda masuk ke Pos Gob.

Katanya, dia berharap pihak berkuasa dapat mengetatkan kawalan kepada pihak yang ­ingin mengadakan program di kawasan perkampungan Orang Asli ketika musim tengkujuh.

“Aktiviti yang memberi keseronokan kepada peminat sukan lasak itu hanya mendatangkan kesusahan kepada penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman untuk me­lakukan urusan harian,” ujar­nya. –UTUSAN

The post Peminat sukan 4×4 rosakkan laluan kampung Orang Asli appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *