PETALING JAYA: Pemuda Barisan Nasional (BN) mendakwa manifesto Pakatan Harapan (PH) seolah-olah menggadai kedaulatan negara apabila menawarkan kerakyatan automatik kepada warga asing dengan syarat yang sangat longgar. 

Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) berjanji mengkaji atau menawarkan kerakyatan bagi anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia di luar negara. 

Malah, katanya, ia adalah antara isu yang sememangnya dikaji sejak dulu bagi memastikan keadilan bagi wanita tempatan yang dianiayai suami warga asing di luar negara. 

Bagaimanapun, katanya, kerakyatan adalah anugerah tertinggi negara yang diberikan hanya kepada individu asing yang layak sahaja. 

“Namun, PH dalam manifesto mereka bertindak lebih jauh sehingga sanggup menawarkan kerakyatan automatik bagi anak angkat dan warga emas yang mempunyai anak warga Malaysia (rujuk buku Tawaran Harapan pada muka surat 28 dan 34).

“Tawaran ini seolah-olah menggadaikan kedaulatan negara dan memberi beban kepada tanah air dalam jangka masa panjang. Apa jaminan kesetiaan mereka kepada ibu pertiwi sekiranya kerakyatan diberikan secara automatik seperti ini?

“Sedangkan hari ini warga asing perlu bermastautin dalam negara bagi tempoh tertentu serta mempunyai kemampuan berbahasa Melayu dengan baik sebelum boleh dipertimbang bagi memperoleh kewarganegaraan kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, pemberian kerakyatan kepada warga asing tua secara automatik juga memberi beban kepada perkhidmatan kesihatan negara. 

Katanya, ini kerana semua itu menggunakan wang pembayar cukai dan menjejaskan hak warga emas negara sendiri.

“Lebih membimbangkan saya adalah apabila terdapat laporan lebih 1.22 juta pelancong dari negara China yang tidak mempunyai rekod keluar daripada negara kita antara tahun 2018 hingga 2021. 

“Jumlah ini terlalu besar dan membimbangkan kita. Jika PH memerintah dan kesemua mereka ini diberikan kewarganegaraan, maka ia akan merosakkan demografi negara dan menyahstabil keseimbangan antara kaum yang telah wujud selama ini,” katanya. 

Jelas beliau, tawaran PH itu menunjukkan mereka lebih mementingkan undi daripada kedaulatan negara. 

“Rekod buruk mereka dan bekas-bekas sekutu mereka terutama PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dalam isu (ratifikasi) Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Statut Rome dan Pulau Batu Putih membuktikan kesemua parti ini tidak layak diberikan peluang mengemudi negara buat kali kedua,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

The post Pemuda BN dakwa manifesto PH seolah-olah gadai kedaulatan negara  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *