JOHOR BAHRU: Pemandu lelaki yang ditahan kerana melarikan diri bersama kekasihnya lebih 70 kilometer kerana terkejut dengan kehadiran polis peronda malam kelmarin didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret, Hidayatul Syuhada Samsuddin turut memerintahkan supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Danish Izzuddin Mohd. Sharpie, 20, didakwa menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugas di Taman Rekreasi Adda Heights, Johor kira-kira pukul 11.30 malam pada 17 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ahmad Rofaif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, tertuduh ditahan bersama-sama kekasihnya yang berusia 18 tahun selepas melarikan diri dengan kereta Proton Persona lebih 70 kilometer selepas terkejut dengan kehadiran polis peronda di Taman Rekreasi Adda Heights.

Rakaman video kejadian 10 kereta peronda polis mengejar kereta berkenaan yang berdurasi 1 minit 15 saat tular dalam media sosial sehingga mendapat perhatian netizen. – UTUSAN

The post Pemuda dikejar polis lebih 70 kilometer didenda RM3,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *